Wednesday, May 6, 2009

Hati menangis..

Alhamdulillah, menghitung hari dan minggu, sudah 3 minggu aku berpraktikal di Bank Rakyat Jitra ini. Melihat dan cuba menyelami kerenah setiap staff di sini. Semuanya baik belaka dan tidak lokek memberikan bimbingan dan tunjuk ajar..

Kak Azian yang ceria dan peramah..

Abang Mat yang sangat ambil berat dan bermotivasi..

Abang Khai dan Abang Wazi yang suka 'menyakat' tapi baik hati..

Abang Aswad yang sabar melayan pertanyaanku yang bertubi-tubi..

Cik Ina yang baik hati dan lemah lembut..

Kak Yati yang comel dan baik hati..

Kak Ana yang happy go lucky dan peramah..

Kak Reliza dan Kak Milah yang sangat concern..

En Radzi yang serius tetapi sangat concern dengan semua subordinatesnya =)

dan semua staff yang tidak 'ter'sebut namanya di sini, kalian semua sangat-sangat baik..hanya Allah yang mampu membalas kebaikan kalian!

Hari ini..tidak tahu kenapa, hatiku jadi sangat sensitif, rasa sedih dan sedikit beremosi. Aku melakukan rutinku seperti biasa, 'attain customers' yang nak buat personal loan. Ada seorang customerku, dari jauh aku kenal wajahnya. Seingatku, ini adalah kali kedua dia datang ke sini bertanyakan kelayakannya untuk membuat pinjaman. Aku attain beliau, minta payslip dan mula calculate maksimum ansuran bulanan yang dia layak. Bila dah kira, ansurannya jadi negatif, bermaksud beliau tidak layak untuk membuat pinjaman. Aku nyatakan kepada beliau, Maaf Encik, Encik tak layak untuk buat pinjaman, ansuran Encik negatif. Aku lihat wajahnya. Ada sedikit perasaan sedih dan kecewa mungkin kerana hasratnya tidak tercapai. Beliau ialah seorang tentera dan setiap keanggotaan tentera dipotong koperasi tentera yang agak banyak amountnya setiap bulan. Takpa lah kalau macam tu, terima kasih Cik, beliau menjawab.

Ya Allah! Rasa nak menangis melihat wajah customer tadi. Aku cuba menempatkan diriku di tempatnya..mungkin dia sangat memerlukan wang yang banyak untuk urusan peribadinya, mungkin untuk membayar rumah, kereta, pinjaman dari bank lain atau lain-lain. Tetapi aku tidak mampu menolongnya, moga-moga Allah berikan jalan keluar kepada customer tadi untuk dia berikhtiar dengan cara yang lain, doaku..

Rencah kehidupan. Aku baru sahaja menjengah alam di luar kampus. Alam kerjaya, alam bermasyarakat. Tidak terduga ujian Tuhan buat mereka-mereka yang lebih dahulu merasai alam ini. Aku melihat wajah-wajah staf Bank Rakyat ini. Mereka tidak pun mengeluh kepenatan atau tertekan dengan kerenah pelanggan-pelanggan hatta aku tahu mereka berhadapan dengan pelbagai kes yang merumitkan setiap hari. Mental mereka cukup tough untuk berhadapan dengan pelbagai masalah setiap hari. Aku yang baru sahaja 3 minggu bekerja sudah merasakan sedikit pressure dengan masalah-masalah pelangganku. Astaghfirullah..semoga Allah terus memberikanku dan semua staff BKRM ini kekuatan untuk terus memberikan khidmat yang terbaik kepada pelanggan-pelanggan kami..

Ya Allah, Engkau bantulah aku pada esok hari dan pada hari-hari mendatang untuk aku bekerja dengan itqan dan penuh semangat! Aku tidak mahu kalah dengan ujian dunia yang sebenarnya tidak begitu besar pun ujian itu terhadapku jika dibandingkan ujian-Mu kepada para Anbiya' dan sahabat radhiallahu'anhum..Amin!

Aku ingin jadi HEBAT seperti..








Zainab Al-Ghazali
Ketua "Jamaah Saidatina Muslimah"

Aku ingin jadi HEBAT seperti..











Ustazah Nuridah Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat



Aku ingin jadi HEBAT seperti..














Saudari Rafidah Salleh
Pengerusi SIGMA

Friday, May 1, 2009

Apa Bakat Saya?

Sobahal khair! Salam Saiyyidil Ayyam!

Selamat Hari Pekerja kepada semua yang bekerja!

Alhamdulillah pagi ini saya berkesempatan Subuh berjemaah bersama ibunda tercinta dan sujud sajdah bersama-sama Mak, Alhamdulillah..

Sambil bersarapan, saya menonton MHI, rancangan yang sarat dengan info, tetapi bergantung atas kebijaksanaan kita untuk menyaring segmen yang boleh kita ambil sebagai panduan kerana ada juga segmen-segmennya yang hanya sekadar boleh dilihat atau sekadar untuk tahu. Kita tinggalkan isu MHI. Apa yang ingin saya kongsikan pada entri kali ini adalah mengenai wawancara Saudara Mazidul Akmar pagi tadi bersama seorang penulis buku 'Apa Bakat Saya?', Saudara Ahmad Naim Jaafar.



Biodata ringkas Ahmad Naim Jaafar:

Ahmad Naim Jaafar dilahirkan pada 18 Mei 1979 di Sungai Besar, Selangor Darul Ehsan. Beliau adalah perunding dan jurulatih dalam bidang kepimpinan. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau adalah pengasas Pusat Pembangunan Kepimpinan yang menganjurkan program latihan untuk organisasi bagi mempromosi pendidikan kepimpinan di Malaysia. Beliau adalah salah seorang penerima Tun Razak Youth Leadership Award anjuran Malaysia Institute of Managemant MIM) pada tahun 2004. Beliau juga aktif sebagai penceramah dan perunding kepada program Bina Insan anjuran kerajaan negeri Selangor. Buku tulisan beliau berjudul Membina Karisma dijadikan modul pengajian di Pusat Ko-kurikulum Universiti Malaya dan beliau sendiri adalah tenaga pengajarnya. Beliau juga adalah pengarang bersama Dato` Dr. Mohd Fadzilah Kamsah.

Buku-buku karya Ahmad Naim Jaafar yang diterbitkan adalah:

  1. Membina Karisma
  2. Kuasa Karisma
  3. Membina Remaja Berkarisma
  4. Tip Menjadi Individu Menarik
  5. Anda Gentleman Apabila…?
  6. Anda Berkarisma Apabila…?
  7. Anda Berkredibiliti Apabila…?
  8. Anda Ingin Menjadi Seorang Gentleman
  9. Anggun di Luar Serlah Pesona dari Dalam
  10. Kunci Menjadi Individu Berkredibiliti
  11. 55 Kerja Berpasukan

Beliau dilantik menjadi mentor penulis di Akademi Penulis dan mengendalikan Bengkel Intensif Teknik Menulis dengan En. Fauzul Na’im Ishak.

Anda kenal beliau? Mungkin anda yang memiliki buku-buku tulisan beliau telah mengenali beliau. Saya sendiri memang biasa mendengar nama beliau cuma tidak mengenali beliau dengan lebih mendalam.

Pagi ini Saudara Ahmad Naim berkongsi dengan penonton MHI mengenai buku terbaru beliau berjudul 'Apa Bakat Saya?' Subjek sasaran buku ini adalah kepada golongan pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah. Kenapa golongan pelajar? Saudara Ahmad Naim menjawab, "Pelajar-pelajar inilah satu hari nanti yang akan membangunkan negara, memimpin negara dan menguruskan ekonomi negara."

Walau bagaimanapun, beliau masih dalam usaha untuk menulis Apa Bakat Saya? bagi golongan dewasa pula nanti.

Antara isi penting di dalam buku Apa Bakat Saya? yang beliau highlightkan pagi tadi adalah mengenai 4 aspek/peringkat bakat saya. Mungkin kita tidak sedar bahawa kita sebenarnya berada dalam pringkat-peringkat ini. Apakah 4 aspek tersebut?

  1. Mengenal pasti Bakat Semulajadi kita (peringkat ini merupakan peringkat yang paling kritikal)
  2. Bakat Kompetitif (apabila bakat sudah dikenal pasti, bakat itu harus dicampakkan ke dalam surrounding yang kompetitif. Contohnya, Z sebenarnya mempunyai bakat bercakap tetapi dia tidak pernah menggunakan bakatnya dalam bidang yang kompetitif seperti berforum, bersyarah dsb. Z petah 'bersyarah' hanya di hadapan rakan-rakannya atau di kedai-kedai kopi sahaja.)
  3. Bakat Strategik (contohnya, R memiliki bakat dalam per'salon'an tetapi apabila perniagaannya berkembang maju, dia sudah tidak menjadi pekerja salon tetapi dia menjadi seorang pengurus. Seorang pengurus tidak mendandan rambut dsb tetapi dia bertindak dalam mengurus soal kewangan, human resource dsb. Jadi bakat R sudah menjadi bakat strategik)
  4. Bakat Mapan ('sustainable talent' ini adalah bakat yang lebih susah tetapi saya terlupa pula huraiannya, maaf..)
Apa yang menariknya, beliau turut berkongsi mengenai proses mengenali bakat kita.

Beliau bercerita mengenai seorang rakan beliau yang mempunyai bakat dalam 'investment' dan mempunyai kelulusan dalam Sains Aktuari tetapi berminat dalam membangunkan insan dan membina potensi insan lain!

Bakatnya = investment
Minatnya = motivation

Jauh berbeza, bukan? Saya seolah-olah mempunyai sedikit persamaan dengan rakan Saudara Ahmad Naim. Bakat dalam Ilmu Hisab tetapi saya lebih berminat dengan Sains Kemanusiaan =)

Adakah kita minat dengan bakat kita?
Jawapan saya: Saya minat tetapi saya lebih berminat untuk membangunkan anak muda!

Unik bukan? Hebatnya Tuhan, seorang manusia boleh memiliki bakat dan minat yang totally different bagai langit dan bumi! Pujian dikembalikan kepada Dia yang menciptakan kita dengan bakat dan minat yang berbeza-beza.

Maka, kenalilah BAKAT dan MINAT anda dari sekarang! Cungkil dan campakkan ia dalam surrounding yang membina agar BAKAT anda tidak sia-sia dan MINAT anda tidak sirna =)

Salam Jumaat, hari yang penuh barokah, wassalam.


Wednesday, April 29, 2009

Imtihanku, Perjuanganku..


"Fizah dah check result?" Izleen, classmateku bertanya petang tadi.

"Belum. Dah kuar ka?" Aku membalas.

"Tak tau la, semalam check tak dapat lagi" Izleen menjawab.

Usai tugas seharianku di bank hari ini, aku luangkan sedikit masa untuk check emel, check result yang tentunya mendebarkan hati dan layari blog sahabat-sahabat.

Bismillahirrahmanirrahim..

Klik.

Result Sem 2 08/09. Alhamdulillah, result okay. Syukur pada-Mu ya Tuhan. Sungguh pun tak begitu cemerlang, tetapi inilah hasil effort yang sehabis mampu aku curahkan sepanjang sem lepas. Aku yakin rata-rata classmateku lebih cemerlang result mereka, malahan ramai juga yang tersenarai sebagai DL. Tahniah!

Aku sedar dan amat sedar bahawa dunia hari ini memandang excellent result sebagai 'key' untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dan bergaji besar. Even kita melihat perkara ini hanyalah duniawi tetapi kita tidak dapat mengenepikan hakikat dunia sekarang. Mahukah menjadi orang yang ketinggalan dari segi ilmu sedangkan orang lain sedang berlumba-lumba untuk menjadi cemerlang? Soal pekerjaan dan gaji bukanlah ukuran utama tetapi sejauh mana kita berusaha untuk mendalami ilmu yang kita tuntut di alam kampus sekarang?

Aku melihat ramai pelajar yang berjaya dengan kepujian dalam degree masing-masing tetapi ramai juga yang kecundang dalam akhlak dan nilai diri mereka. Ya, mereka mampu menjawat jawatan yang tinggi, menerima gaji yang melebihi 6 angka malahan mampu memiliki kereta dan rumah yang berbuah-buah! Akan tetapi mereka ini amat cetek dan amat rendah akhlak dan sensitiviti mereka terhadap Islam.

Kesempatan berbual dengan rakan sekerjaku pagi tadi, amat menginsafkanku tentang realiti dunia kerjaya yang sebenar. Start kerja pukul 8.30 pagi, non-stop sampai 5.30 petang. Antara waktu tu, dibenarkan rehat selama 1 jam. Kadang-kadang tak nampak pun segelintir mereka yang solat, Zuhurnya ke mana, Asarnya ke mana.. bila ada pula meeting, bersambung hingga Maghrib, kemudian cepat-cepat beredar untuk main boling pulak! Mana Maghrib? Isya'nya? wallahua'lam..

Aku mendengar luahan hati rakanku ini. Astaghfirullahal'azim! Inilah realitinya. Bagaimana harusku mulakan? Inilah medannya untuk aku berperanan, menyuntik kesedaran dan mengejutkan mereka daripada kealpaan. Sedih. Runsing. Lahiriahnya tampak baik-baik belaka dan faham agama, bukan bermaksud aku menuduh sesiapa. Tetapi jika benarlah kata-kata rakanku pagi tadi, maka amatlah sedih dengan barah yang telah lama menular dalam kalangan mereka.

Mereka sedar itu. Mereka faham kebenaran itu. Mereka tahu azab Tuhan. Mereka takut kematian yang su'.

Lalu, kenapa mereka masih sanggup mengabaikan petintah Tuhan? Kerana nafsukah? Kerana duniakah? Penatkah? Dan beribu-ribu alasan lagi yang boleh dicreate!

Bekerja biar amanah.
Bekerja biar ikhlas.
Bekerja biar mendapat redha Tuhan.

Bekerja, walaupun sah dan halal di sisi Tuhan, tetapi dalam masa yang sama engkar perintah-Nya, adakah direstui oleh Tuhan?

Ilmu agama sudah ada, tetapi penghayatannya tiada! Inilah dia natijahnya, natijah daripada "ilmu tanpa amal".

Jom! Mulakan membidik agar tepat pada sasaran anda!



Aku tidak ingin menjadi PEJUANG KEHORMAT,
tetapi aku ingin menjadi PEJUANG PEMIKIR UMAT!!

Sunday, April 26, 2009

Alam Kerjaya


Alhamdulillah, pertamanya setinggi-tinggi kesyukuran aku panjatkan ke hadrat Allah Ta'ala kerana sehingga ke hari ini aku masih diberi nikmat Iman dan Islam serta kesihatan yang baik oleh-Nya. Terniat di hati ini untuk berkongsi sedikit pengalaman sepanjang tempoh seminggu aku menjadi 'warga kerja' Bank Rakyat Jitra.

Hari pertama; 20 April 2009, Isnin:

Pukul 8.30 pagi aku sudah berada di hadapan bangunan Bank Rakyat yang tersergam indah. Aku memulakan langkah walau debaran di hati ini hanya Allah yang tahu. Apabila aku melangkah masuk ke dalam bangunan, aku agak terkejut melihatkan semua staf berhimpun di bahagian bawah iaitu di ruang legar Bank Rakyat. Aku terpinga-pinga, apa yang mereka sedang lakukan? Ada acara apa-apa ka? Tidak lama kemudian, seorang lelaki yang berpakaian kemas, rupanya Pengurus Cawangan memberikan kata alu-aluan dan seterusnya mengalu-alukan kedatanganku. Aku terus diperkenalkan kepada semua staf yang berada di situ. Alhamdulillah, dah lepas satu step! Kemudian baru ku tahu bahawa pada setiap pagi, sebelum bermulanya waktu kerja, semua staf akan berhimpun sebagai memenuhi aktiviti-aktiviti harian seperti mendengar laporan, menerima arahan baru, bengkel, mengalunkan zikir munajat dan membaca surah Yasin pada setiap pagi Jumaat. Alhamdulillah, terdetik di hatiku bahawa warga kerja di sini masih mempunyai kesedaran menghidupkan suasana Islam di dalam tempat kerja mereka.

Next, aku dibawa berjumpa dengan Pengurus Cawangan, En Radzi yang sangat baik hati dan suka 'menyakat' pekerja-pekerjanya =). Aku diberikan penerangan dan guideline serta etika yang perlu ku patuhi sebagai warga kerja Bank Rakyat. Aku tidak boleh sewenang-wenangnya mendedahkan maklumat di dalam Bank Rakyat tanpa keizinan Pengurus waalaupun aku telah menjadi sebahagian daripada mereka atas tiket 'student' yang aku pegang. Aku memahami rules & regulation yang diberikan dan insya-Allah aku akan patuhinya sebaik mungkin. Aku mengingati setiap pesanan dan nasihat En Radzi, katanya;

"Apabila awak berada di sini (Bank Rakyat), awak akan memahami corak dan cara kerja di sini. Terpulang kepada awak, samada awak dapat menggunakan peluang ini dengan baik atau tidak. Awak harus tahu bagaimana cara berkomunikasi dengan baik dan awak perlu mix around dengan staf-staf di sini. Mereka kadangkala tak sempat nak layan awak disebabkan kerja-kerja mereka yang sedia banyak, jadi awak yang harus menegur mereka. Jangan malu untuk bertanya dan cuba tonjolkan potensi diri awak sebagai university's student. Buat permulaan, awak akan ditempatkan di Credit Unit."

Begitu antara kata-kata En Radzi kepadaku. Aku mengangguk dan cuba absorb segala saranan dan nasihat yang diberikan oleh beliau. Kini, aku perlu setkan mindaku, aku adalah staf Bank Rakyat, bukan student lagi (buat masa sekarang). Jadi, harus semangat!

Aku dibawa berjumpa staf di Unit Kredit. Aku berkenalan dengan Kak Azian, Abang Mat, Abang Wazi, Abang Khai, Kak Irah, Pn Hazlina dan En Shah sebagai rakan sekerja Unit Kredit. Alhamdulillah, mereka amat baik dan sangat sporting! Mereka banyak membantuku di sini. Aku amat bersyukur dan berterima kasih kepada mereka atas segala tunjuk ajar dan bimbingan yang diberikan. Aku belajar untuk open file (Aslah-i), make and receive call, pergi ke sekolah-sekolah as a part of marketing, attain customers (part ni tak cekap lagi) dan memahami selok belok perjalanan Bank Rakyat. Alhamdulillah, inilah antara ilmu baru yang ku perolehi dan masih banyak lagi yang perlu ku terokai selama 2 bulan setengah perjalananku bersama Bank Rakyat Jitra ini.

21 - 24 April 2009, (Selasa-Jumaat);

These 4 days aku melakukan routine yang sama di Unit Kredit ini. Kak Azian adalah orang yang paling banyak assist aku. Terima kasih Kak Azian, nanti saya belanja akak makan =)

Aku bertanya pada diri sendiri, "Nak ka keja kat bank? Seharian dok dalam aircond, menghadap komputer dan balik almost 6.30 everyday.." Hari pertama balik kerja, aku dah collapse pada malamnya, Ya Allah baru ku tahu erti bekerja! Aku pernah bertanya staf-staf Bank Rakyat di sini, tak penat ka keja kat bank? Mereka membalas, memang penat tetapi pulangannya adalah gaji yang tinggi dan bonus yang kerap diterima.

Aku menyedari bahawa tersangat jauh perbezaan alam kerjaya dengan duniaku di universiti..sudah tentu! Aku merindui suasana tarbiyah, merindui usrah, kuliah, muzakarah bersama sahabat-sahabat dan segala-galanya di IIUM! Dunia kerjaya berhadapan dengan hectic life dan manusia yang datang daripada pelbagai latar belakang. That's it! Inilah alam praktikal yang selalu diingat-ingatkan di dalam usrah mahu pun tamrin. Biar pun aku baru menempuh alam praktikal, tetapi aku sudah merasai cabarannya.

. . . Kita mudah untuk mengajak adik-adik freshies untuk masuk usrah atau pun mengajak ke program-program tetapi mampukah kita mengajak atau berdakwah kepada rakan sekerja kita yang rata-ratanya lebih tua daripada kita?

. . . Kita mudah mengajak adik-adik dan rakan-rakan kita yang berlatar belakangkan sekolah agama untuk ke usrah tetapi mampukah kita untuk mengajak mad'u kita yang datang dari pelbagai latar belakang untuk memahami Islam as a way of life?


Setiap hari aku bertanya kepada diriku, mampukah aku? Masya-Allah, sungguh pun aku merindui suasana tarbiyah, suasana Islam di kampus, aku masih menyimpan cita-cita untuk menghidupkan Islam walau di mana pun aku berada, walau di mana pun aku bekerja. Aku menyedari bahawa perlunya keimanan dan ketaqwaan untuk terus tumbuh mekar di hati ini, aku menyedari perlunya aku kepada sahabat-sahabat yang sentiasa mengingatkan diriku tika aku alpa dan sibuk dengan urusan kerja duniawi..

Astaghfirullah, Astaghfirullah, Astaghfirullah..

Kepada-Mu Ya Tuhan aku memohon petunjuk dan bantuan dari-Mu. Jauhkanlah aku daripada fitnah dunia dan selamatkanlah aku daripadanya. Bantulah aku dan berikanlah kekuatan kepadaku dalam menempuh hari-hari yang mendatang..

Perjuangan ini, biar pun lelah dan payah, akan ku tempuhi jua...


Sunday, April 19, 2009

Welcome back to Jitra!

I'am back! I miss my home so much!


Alhamdulillah, setelah menamatkan final exam untuk 5 subjects dalam medan imtihan baru-baru ni, dapatlah aku pulang ke rumah dengan sedikit kelegaan, sedikit ja sebab 'medan praktikal' pula menantiku..huu, seram jugak, mohon Allah membantuku..

Mara ke Lapangan Umat

Aku melihat medan praktikal bagi kami; 3rd year students from Kulliyyah of Science sebagai satu medan untuk kami terdedah dengan dunia kerjaya. Bukan sahaja sebagai first exposure kepada dunia kerjaya tetapi juga sebagai medan untuk kita (baca: da'i) mempraktikkan 'skill dakwah' kepada mad'u kita di tempat praktikal masing-masing. Pastikan end of mind kita adalah untuk berdakwah kepada seramai mungkin mad'u yang kita jumpa. Tidak semestinya dakwah bil lisan, tetapi jika kita mampu adalah sangat baik! Berdakwahlah dengan 'hal', dengan akhlak yang baik, yang bukan ditunjuk-tunjuk tetapi ia adalah akhlak yang memang lahir daripada insan yang menerima tarbiyah dalam hidupnya. Sudah tentu insan yang menerima tarbiyah ini memiliki akhlak yang baik, mengikuti dan mencontohi akhlak Nabi dan para sahabat,kan? Insya-Allah kita mampu menjadi employee yang paling berdisiplin, yang paling menepati waktu dan yang paling itqan dalam kerjanya! Insya-Allah aku mahu menjadi seperti itu!

Name: Nurhafizah Bt Yaakob
Course: Mathematical Science;

Concentration in Statistics & Financial Mathematics,

minoring in Business Administration

Practical Placement: Bank Rakyat Jitra

Duration: 20 April 2009 - 30 June 2009

Ayuh! Kita mara ke lapangan umat dengan berbekalkan sedikit ilmu yang kita miliki ini. Saya percaya semua sahabat saya hebat dalam lapangan masing-masing. Kita bukan muslim biasa, kerana kita adalah MUSLIM LUAR BIASA!

My preparation sebelum ke tempat kerja esok =) :

- Check all documents needed; log book, offer letter, CV(bawa ja, kalau supervisor nak tengok ka..)
-Pakaian yang sesuai =)

-Solat hajat dan doa banyak-banyak, hope to get a nice and helpful supervisor, Amin!

Buat diriku dan semua sahabat-> Selamat menjalani ibadah praktikal! Do the best dan jadilah pekerja yang berdisiplin dan berakhlak mulia =)

Friday, April 10, 2009

Kepimpinan Yang Adil

Khusus buat Barisan Kepimpinan Malaysia 2009 & PM ke-6; Dato' Seri Najib Tun Razak;

Tanggal 3 April 2009 merupakan tarikh bersejarah bagi rakyat Malaysia apabila tampuk peralihan jawatan Perdana Menteri telah diambil alih oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak. Peralihan kuasa ini menandakan tamatnya zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi Perdana Menteri Malaysia selama hampir 8 tahun (2002-2009). Dato’ Seri Najib Tun Razak bukanlah orang baru di dalam arena politik ini kerana seawal usia yang masih muda lagi, beliau telah merasai asam garam dan rencah hidup berpolitik. Sekalung tahniah diucapkan kepada beliau atas perlantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6.

Sesungguhnya seluruh rakyat Malaysia amnya dan seluruh mahasiswa khasnya meletakkan segunung harapan yang tinggi kepada kepimpinan baru Malaysia ini. Memetik ucapan beliau di dalam ‘Nota Ucapan Selepas Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-6’ yang bertarikh 3 April 2009, beliau tersentuh dan terpanggil untuk meneruskan agenda besar kerajaan untuk membasmi kemiskinan, menstrukturkan semula masyarakat Malaysia, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua, serta meniupkan semangat sebuah generasi baru untuk menumpah khidmat kepada Malaysia. Beliau turut menyatakan bahawa kepentingan rakyat diutamakan merentasi seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik.

Pengumuman penarikan balik larangan penerbitan sementara bagi DUA surat khabar serta membebaskan TIGA BELAS tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pastinya melapangkan hati rakyat terutamanya bagi keluarga tahanan-tahanan ISA yang terlibat. Selain itu, kajian semula terhadap Akta ISA secara serius juga telah lama dinanti-nantikan oleh rakyat dan rakyat akan menyaksikan hasil kajian ini di bawah kepimpinan baru Malaysia yang diterajui oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak. Walaupun rakyat dan mahasiswa optimis dengan kenyataan beliau mengenai dasar dan pembaharuan yang akan dilaksanakan tetapi kami menuntut agar ianya mestilah dilaksanakan dengan adil dan telus serta tidak prejudis kepada mana-mana pihak.

Menyentuh isu kemahasiswaan pula, kemaslahatan mahasiswa amat dituntut dalam merealisasikan potensi golongan anak muda sebagai pelapis kepimpinan masa hadapan. Yang Berhormat Perdana Menteri bersedia untuk membangunkan potensi anak muda setinggi-tingginya sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam ucapan beliau selepas mangangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-6 baru-baru ini. Justeru, mahasiswa mempertaruhkan keyakinan yang tinggi kepada beliau agar isu mahasiswa tidak dipandang enteng dan diremehkan seperti isu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang masih tidak dimansuhkan oleh kerajaan. Di sini mahasiswa ingin menyatakan pendirian bahawa kami mempunyai idealisme tersendiri dan sesungguhnya kami tegar dalam memperjuangkan hak mahasiswa secara rasional dan matang jika hak kami disekat atau dikhianati oleh mana-mana pihak.

Dalam masa yang sama, mahasiswa juga ingin dilihat sebagai agen ‘check and balance’ kepada kerajaan dalam usaha melahirkan para cendekiawan yang tinggi ilmunya dalam segenap bidang. Suara mahasiswa juga harus didengari dan ruang yang seluas-luasnya harus diberikan kepada kami untuk beraksi kerana mahasiswa masih berada dalam medan belajar dan berijtihad dalam melakukan sesuatu keputusan. Jika suasana ini dapat direalisasikan oleh kerajaan, maka ‘win-win situation’ dapat dinikmati oleh kedua-dua pihak iaitu pihak kerajaan dan mahasiswa sendiri. Sebarang persamaan atau perbezaan pendapat dapat diharmonikan oleh kedua-dua pihak jika mereka saling berlapang dada dan bersatu dalam menyelesaikan ‘real problem’ bagi mana-mana aspek yang dibincangkan.

Selain itu, perlu diingat bahawa perkara utama yang menunjangi kehidupan kita iaitu agama Islam wajib dilaksanakan tanpa kompromi. Kewajipan melaksanakan hukum dan syari’at Islam ke atas sesebuah negara tertanggung atas pemimpin negara itu sendiri. Pemimpin yang adil dan baik akhlaknya akan dihormati dan dicontohi oleh rakyat. Sejarah kepimpinan Islam yang cantik telah ditunjukkan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan berakhlak mulia. Beliau amat disayangi oleh rakyatnya kerana beliau lebih mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan diri beliau sendiri.

Kepimpinan yang adil dan telus sangat didambakan oleh rakyat dan mahasiswa. Maka dengan slogan dan semangat “Satu Malaysia-Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan” yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri baru kita ini diharapkan ianya berpijak di atas bumi yang nyata. Segala janji dan seruan kepada rakyat wajiblah dicermati dan perlu dilaksanakan kerana setiap janji yang telah dibuat akan dipersoalkan oleh Tuhan. Akhirnya sebagai wakil kepada seluruh mahasiswa, kami mengharapkan barisan kepimpinan baru Malaysia 2009 dapat memiliki sifat seorang pemimpin yang Al-Qawiy (kuat) dan Al-Amin (amanah) dalam menerajui pemerintahan dan kami amat menyokong kepimpinan yang adil daripada kalian.

Nukilan;
khaulahazwar86

Tuesday, April 7, 2009

Pakatan Rakyat di Hati

[1]Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, [2]dan engkau melihat manusia berbondong-bondong masuk agama Allah, [3]maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampunan kepada-Nya. Sungguh, Dia Maha Penerima taubat. [An-Nasr:1-3]

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

9.20 pm: OFFICIAL RESULTS from malaysiakini.com
Mohd Jamaluddin Nizar (PAS) 21,860Ismail Saffian (BN-Umno) 19,071Kamarul Ramizu Idris (Ind) 62 Majority - 2,789 (In 2008, the majority was 1,566)

9.36pm Bukit Selambau Unofficial resultsS Manikumar (PKR) 12,607S Ganesan (BN) 10,232 Majority 2,375

7.50pm Batang Ai OFFICIAL RESULTS
BN's Malcolm Mussem Lamoh (3,907 votes) has beaten PKR's Jawah Gerang (2,053). The majority is 1,854.
With this result, BN has increased its majority from the 806-vote margin at the 2006 state election.

Begitulah keputusan Pilihan Raya Kecil hari ini. Rakyat telah membuat pilihan mereka. Pakatan Rakyat menumbangkan Barisan Nasional di dua bukit walaupun BN dapat menguasai Batang Ai di Sarawak.

Bermonolog sendiri..

Aku melihat manusia hari ini yang cintakan dunia (hubbuddunya), sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai kehendak dan niat mereka. Kehendak kepada harta, pangkat dan kuasa itulah yang mendorong mereka untuk melakukan perkara yang buruk dan keji hatta mereka ini menyembah Tuhan yang Satu, menghadap kiblat yang satu. Demi melunasi niat-niat jahat ini, mereka sanggup mengambil harta rakyat, menipu rakyat, memfitnah pemimpin lain dan menabur janji-janji manis tetapi kosong kepada rakyat.

Hari ini, tanggal 7 April 2009, negara sekali lagi menyaksikan kepercayaan rakyat kepada pimpinan Pakatan Rakyat, kepercayaan rakyat kepada pimpinan Islam. Walaupun BN telah menggunakan ‘make up’ baru tetapi kesan ‘make up’ lama pada wajah BN masih nampak dan sukar bagi rakyat untuk cuba memberi kepercayaan kepada BN. Rakyat pada hari ini lebih bijak dan lebih berani dalam melakukan keputusan. Sekalung tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah menyokong Pakatan Rakyat di Dun Bukit Selambau dan Parlimen Bukit Gantang! Anda telah membuat pilihan yang tepat dan bijak pada hari ini dan semoga pertolongan Allah sentiasa bersama orang-orang yang benar.

Kita berasa gembira dengan kemenangan ini, kemenangan yang hakikinya adalah daripada Allah. Hayatilah surah An-Nasr dan insafilah akan kemenangan yang kita perolehi ini. Sesungguhnya masa untuk mengisi kemenangan merupakan masa-masa yang lebih getir dan mencabar bagi kita. Teruskan memperhebat doa-doa kita dan mohonlah kekuatan daripada-Nya. Semoga pemimpin-pemimpin kita yang menerajui pimpinan Pakatan Rakyat merupakan pemimpin yang Al-Qawiy dan Al-Amin, insya-Allah..

Monday, April 6, 2009

Cerita Hari Ini...

Alhamdulillah hari ini masih dapat bangun pagi, melakukan rutin harian seperti biasa..
Allah masih memberi nafas menghirup oksigen-Nya..

9.30 pagi: "Fizah, Abang Long akak dah takde.." Kak Iqa memberitahuku pagi tadi. Bagai terkena kejutan elektrik, macam tak percaya aku mendengar berita itu..ku lihat air mata sudah bergenang di kelopak mata Kak Iqa.

"Akak, sabar ye..dah tiba ajal Abang Long.."aku cuba untuk menenangkan Kak Iqa.

10.00 pagi: "Akak balik dulu, doakan semuanya.." ujar Kak Iqa.

Terduduk.

Aku masih lagi macam tak percaya. Aku kenal baik dengan famili Kak Iqa. Dua tiga kali bertandang ke rumah beliau membuatkan aku sudah kenal dengan adik-beradik dan ipar-duai Kak Iqa. Abang Long beliau yang merupakan suami kakak sulung Kak Iqa disahkan meninggal dunia pagi tadi di HKL. Menurut doktor, beliau menghidap darah tinggi. Ya, itu merupakan asbabnya dan kita perlu yakin bahawa ajal beliau sudah tiba.

11.30 pagi: "Faraa, ang exam tak esok? Jom g umah Kak Iqa, nak?" aku bertanya sahabatku Faraa. "Tak exam.Ok je, insya-Allah." jawab Faraa.

12.45 tgh hari: "Ok ye semua, ready pukul 2.30 ptg, kita bertolak, insya-Allah.." aku mengingatkan sahabat-sahabatku yang confirm untuk pergi ziarah.

2.30 ptg: "Alhamdulillah semua dah cukup, dah boleh bertolak rasanya.." -dua buah kereta telah konvoi dari Kuantan ke Paya Pulai, Temerloh.

4.30 ptg: "Eh, mana rumah arwah? Macam takde orang pulak.." kami tercari-cari rumah arwah. Salah seorang sahabat contact Kak Iqa, oh, rupanya jenazah dah dibawa ke masjid untuk disembahyangkan. Kami pun bergegas ke sana.

Alhamdulillah kami selamat tiba. Bersalaman dengan adik-adik Kak Iqa. Sayu aku lihat wajah mereka. Mataku beralih pula kepada Kak Long, merah matanya. Wafiy dalam dukungan asyik menangis sahaja. Tersentuh hatiku melihat Wafiy. Anak kecil yang baru berusia setahun itu sudah kehilangan ayah yang dikasihi.

Selepas Asar. Jenazah selamat disembahyangkan. Kemudian, kami beramai-ramai mengiringi jenazah ke tanah perkuburan yang hanya bersebelahan dengan masjid. Sanak saudara dan kenalan ramai yang hadir sebagai penghormatan terakhir kepada arwah. Aku dan beberapa sahabat hanya berada di luar pagar kubur kerana ramai yang berada di dalam, menyukarkan kami untuk berada dalam kawasan kubur.

Aku hanya menyaksikan dari jauh. Tiba saatnya jenazah dibawa ke dalam liang lahad, disaksikan oleh mereka yang hadir. Aku seolah-olah membayangkan bagaimana jika yang dimasukkan ke dalam liang lahad itu adalah aku..Allahu Akbar! Takut rasanya mengenangkan diri ini yang masih tidak cukup persediaan untuk menghadap Dia.

Mataku mencari-cari Kak Long. Ku lihat dia seorang yang tabah. Walaupun mengalir air matanya dan masih merah matanya, tetapi aku tahu dia seorang isteri dan ibu yang kuat. Dia memeluk Wafiy erat dan Kak Iqa di sebelahnya sentiasa berusaha untuk menenangkannya. Hakikatnya, aku amat tahu kesedihan seorang isteri yang kehilangan suami dan Allah lebih tahu perasaan Kak Long tika itu.

Usai talkin dan doa dibacakan. Semua yang hadir beransur-ansur pulang. Kami juga mengejar masa untuk pulang ke UIA memandangkan ada antara kami yang ada exam esok.

Bersalaman dengan Kak Iqa. "Akak, sabar banyak-banyak ye.." hanya itu yang mampu aku ucapkan. Dalam hati, aku mendoakan agar Allah melimpahkan kekuatan dan kesabaran kepada keluarga Kak Iqa terutamanya kepada Kak Long.

Dalam perjalanan pulang ke UIA. Aku masih teringat-ingat wajah arwah. Arwah seorang yang pendiam bagiku tetapi amat baik kepada anak-anak beliau. Pemergian beliau dalam waktu yang singkat dan mengejut amat tidak dijangkai tetapi itulah ajal yang sudah tersurat. Bagiku, perjalanan ajal arwah sungguh mudah. Allah memudahkan pemergian arwah dan segala urusan pengkebumian juga berjalan lancar, Alhamdulillah..

Sungguh, amat bermakna sekali ceritaku pada hari ini. Cerita hari ini mengingatkanku kepada MATI. Kematian akan menjemput kita pada bila-bila masa sahaja dan walau di mana sahaja kita berada.
"Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita akan kembali.."
Aku juga amat mengharapkan sahabat-sahabatku inilah yang akan mengiringi jenazahku apabila sudah tiba ajalku nanti..
"Andai Ku Tahu kapan tiba ajalku..."



Friday, April 3, 2009

PM ke-6


Seingat aku, masa zaman sekolah lagi, pernah terdengar tentang teori R.A.H.M.A.N. Apa maksud teori ni? RAHMAN; turutan nama-nama Perdana Menteri Malaysia.


Bapa Kemerdekaan Malaysia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pernah mengetengahkan teori RAHMAN. Menurut Almarhum, Perdana Menteri Malaysia nombor satu hingga enam boleh diramalkan dengan menggunakan huruf pangkal nama mereka. Walaupun ramalan tidak dibenarkan dalam Islam, ramai pemimpin UMNO taksub dengan telahan ini, sungguhpun Almarhum Tunku cuma berseloroh.




Teori R.A.H.M.A.N berdasarkan singkatan huruf-huruf awalan nama-nama perdana menteri Malaysia sejak 1957 hingga sekarang. Di dalam kata itu R merujuk kepada Tunku Abdul Rahman, A merejuk kepada Tun Abdul Razak Hussein, H kepada Tun Hussein Onn, M kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, A kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi manakala N masih belum lagi diketahui ramai. Walau ramai yang menyangka Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan menggantikan Abdullah Ahmad Badawi tetapi siapakah yang mengisi tempat itu masih lagi menjadi tanda tanya dan kita sebagai rakyat biasa bisa saja mengemukakan pandangan masing2 dalam menyatakan calon yang sesuai.




Hari ini terbukti benar ramalan Bapa Kemerdekaan kita, mungkin benar disebabkan percaturan yang sememangnya dirancang untuk membuktikan teori ini atau ianya kebetulan benar?


Gembiranya Dato' Seri Najib kerana 'berjaya' menyandang gelaran Perdana Menteri Malaysia ke-6! Dan mantan PM kita pula 'berjaya' menerima gelaran 'Tun' setelah berakhirnya tampuk pimpinan beliau.


Bagaimana agaknya corak pemerintahan di bawah PM ke-6 ini? Ada yang mengatakan 'musibah' bakal melanda Malaysia dan...tak tau nak meramal apakah yang akan berlaku. Rasuah, politik wang, lompat parti sudah menjadi perkara biasa bagi pimpinan-pimpinan kerajaan sekarang. Bagaimana rakyat mahu menerima pimpinan yang sebegini?


...



;