Saturday, December 13, 2008

Al-Qur'an di Hati

Al-Qur'an penyejuk hati dan penawar segala penyakit. Dari kecil kita sudah dididik untuk mengenal Al-Qur'an dan menghayati isi kandungannya. Tertarik dengan entri seorang sahabatku tentang Al-Qur'an, "Jadikanlah Al-Qur'an sebagai Kekasih" (syukran Afzan, informasi yang bagus dan membina). Jom kita hayati pula Keutamaan Membacanya. Sedikit perkongsian daripada Dr 'Aidh bin Abdullah Al-Qarni di dalam bukunya, Sejenak Bersama Hidangan Al-Qur'an.
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Umar R.A. secara marfu' daripada Rasulullah s.a.w. bahawa Baginda bersabda:
Maksudnya:
Kelak pada hari Qiamat akan dikatakan kepada orang yang membaca Al-Qur'an, bacalah dan naiklah, kerana sesungguhnya kedudukanmu ada pada akhir ayat yang engkau baca.
(Hadith sahih dikeluarkan oleh Abu Daud, At-Tirmidzi)
Pengertian yang paling jelas dari nash-nash yang ada bahawa kemuliaan seperti yang disebutkan dalam hadith di atas adalah untuk orang yang hafal Al-Qur'an dan bukan untuk orang yang sekadar membacanya. Hal ini dikeranakan oleh beberapa alasan, seperti berikut:

Pertama: Bahawa di syurga tidak terdapat mushhaf Al-Qur'an, sebab tidak ada sebuah nash pun yang menyebutkannya.

Kedua: Perlu adanya batasan yang relatif. Sebab, jika seandainya yang dimaksudkan adalah semua orang yang membaca Al-Qur'an, sama ada dia hafal atau tidak, maka semua manusia akan mendapat keutamaan yang sama dalam hal ini.

Abu Darda' R.A. berkata: "Hafalkanlah Al-Qur'an, kerana Allah tidak akan meng'azab hati manusia yang menghafalkan Al-Qur'an."

Itulah (menghafal Al-Qur'an) yang merupakan kemuliaan yang besar yang mana Rasulullah s.a.w. menyuruh para sahabatnya untuk memperolehinya.

Berbanggalah dengan kemenangan besar ini, ketika orang lain berbangga-bangga dengan sijil mereka, atau dengan jawatan dan kedudukan yang mereka miliki. Maka berbanggalah dirimu dengan kurnia Allah Subhanahu wa Ta'ala yang besar ini (hafalan Al-Qur'an)!

*******

Dalam masa yang sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak telah melahirkan hasrat beliau untuk memupuk dan menggalakkan umat Islam untuk membaca Al-Qur'an dengan mencadangkan penubuhan Akademi Al-Qur'an di negeri ini.

"Satu masa dulu, Kedah terkenal sebagai negeri yang berjaya melahirkan ulama', qari dan qariah dalam bidang hafazan Al-Qur'an. Justeru, tertubuhnya akademi seumpama ini kita berharap lebih ramai lagi para ulama' dan ilmuwan dalam bidang Al-Qur'an di kalangan anak negeri ini dilahirkan." katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil pentauliahan kepada 251 guru agama yang tamat berkursus anjuran Jabatan Mufti Negeri Kedah di Sri Mentaloon pada 5 Disember 2008 lalu. (sumber dipetik dari Berita Harian)

Hasrat beliau ini turut diperkatakan dalam Himpunan Mahasiswa dan Pelajar Negeri Kedah yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA KEDAH) pada 11 Disember 2008 lalu yang turut diadakan di Dewan Sri Mentaloon. Himpunan tersebut telah dihadiri oleh lebih 800 pelajar dan mahasiswa seluruh negeri Kedah.(maklumat lanjut boleh diperoleh daripada blog PERSADA)

Begitulah antara hasrat dan harapan besar beliau yang ingin melihat negeri Kedah ini kembali gemilang dalam melahirkan ulama' dan huffaz yang memartabatkan Al-Qur'an dalam cara hidup seharian. Beliau meminta seluruh pelajar dan mahasiswa dalam himpunan tersebut mendoakan agar hasrat besar beliau ini terlaksana, insya-Allah.

1 comment:

kulenker said...

mau konsultasi gratis seputar menghafal al qur'an?
klik http://tahfizh.blogspot.com
ada buku gratis petunjuk menghafal al qur'an

;