Tuesday, December 16, 2008

Dakwah Fardiyyah

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah puji-pujian dipanjatkan kepada-Nya kerana masih lagi memberi peluang kepada diri ini untuk terus mengabdikan diri kepada-Nya. Alhamdulillah, pagi ini aku sempat berjogging bersama mak dan adik-adik (^_^)..memandangkan cuti yang panjang, maka bertambahlah 'fat' yang terkumpul, Astaghfirullah..bukan niat nak 'slim'kan badan pun, nak jaga kesihatan sebenarnya. Kesihatan sangat penting untuk dititik beratkan, bila badan sihat senanglah nak beribadat,kan?

Intro sikit kat atas tu, yang UTAMAnya adalah merujuk kepada entri kali ini, Dakwah Fardiyyah (DF), insya-Allah. Alhamdulillah setelah buku yang dipinjam begitu lama sekali berada dalam simpananku, maka pada pagi yang mulia ini selamatlah aku menghabiskannya, Alhamdulillah..Lama betul..takpa, yang penting aku faham. Insya-Allah, dengan pengetahuanku yang bersandarkan kepada buku Dakwah Fardiyyah, karangan Ustaz Abdul Halim Al Kinani dan diterjemah oleh Ustaz Mohd Nor bin Hamzah, aku nak buat sinopsis sikit tentang buku ni. Syukran kepada pemilik buku, Hamasyie..banyak pahala kamu, dik =)

Tajuk buku : DAKWAH FARDIYYAH TEORI & PRAKTIKAL

Penulis : Ustaz Abdul Halim Al Kinani
Penterjemah : Ustaz Mohd Nor bin Hamzah

Buku ini mengandungi tiga bab.

Bab 1 (Pendahuluan), Bab 2 (Asas-asas Gerakan DF), Bab 3 (Peringkat-peringkat DF)

Bab 1: Pendahuluan

1- Pengertian DF

DF = hubungan peribadi pendakwah dengan sasaran dakwah (mad'u) yang berlaku secara langsung.

Tujuan = pertingkatkan aqidah, ibadah, akhlak, kefahaman dan harakah sehingga terlaksana sifat-sifat peribadi muslim yang sebenar pada sasaran dakwah. (baca:10 Muwasafat Tarbiyah)

10 Muwasafat Tarbiyah:

  • Aqidah yang sejahtera
  • Ibadat yang sahih
  • Akhlak yang baik
  • Fikiran berpendidikan
  • Tubuh badan yang kuat
  • Mampu berdikari
  • Memberi manfaat kepada orang lain
  • Menjaga masa
  • Berdisiplin dalam urusannya
  • Bermujahadah untuk mengawal hawa nafsu

2- Pensyariatan DF

  • DF mempunyai keberkatan dan ikutan daripada para rasul (rujuk Nuh:5-9)
  • Ibnu Kathir menyebut: "Baginda (Nabi Nuh) telah mempelbagaikan gaya dakwah kepada kaumnya supaya lebih berjaya"
  • Rasulullah s.a.w. menggalakkan berdakwah, walaupun berjaya menunjukkan hidayah kepada seorang lelaki. "Sesungguhnya Allah memberikan hidayat kepada seorang lelaki dengan sebabmu lebih baik bagimu daripada unta merah."
  • Pengalaman para Sahabat, Tabe'in dan Pendakwah selepas mereka
  • Pada sudut praktikal (Ikhwan Muslimin)- Di sana ada satu aktiviti untuk seorang akhi (ahli IM). Ringkasnya: Setiap akhi hendaklah berusaha dalam gerak kerja uslub DF ini untuk memasukkan seorang ahli baru dalam tempoh yang ditetapkan, berfikir, berazam dan mencurahkan segala keupayaannya di dalam menjayakan aktiviti ini. Aktiviti ini dikira sebagai satu latihan untuk ahli jemaah. Aktiviti ini telah berubah menjadi realiti pada sudut praktikal yang dihayati oleh pendokong-pendokong harakah. Mereka telah mencapai hasil dan merasai kesannya.

3- Faedah dan Objektif DF


a) Faedah dan Objektif kepada Pendakwah


Sabda Rasululullah s.a.w. :

Maksudnya: "Sesiapa yang mengatur satu amalan kebaikan dalam Islam, baginya pahala dan pahala orang yang melakukan selepasnya tanpa dikurangkan sedikit pun daripada pahalanya. Sesiapa yang mengatur satu amalan kejahatan dalam Islam, baginya dosa dan dosa orang yang melakukannya tanpa mengurangkan dosa mereka sedikitpun."


b) Faedah dan Objektif Untuk Sasaran Dakwah


Sasaran dakwah akan diselamatkan dan dipelihara daripada neraka, bakaran dan nyalaannya dengan menjauhi daripada jalan maksiat dan hidup pada jalan ketaatan dan hidayat dan mengubah kedudukan kekal di dalam neraka (syirik) dengan kedudukan kekal dalam syurga (iman).

Membina keperibadian Islam dalam diri sasaran dakwah dan sasaran dakwah akan diperkaderkan untuk menjadi seorang pendakwah yang bekerja untuk Islam.

c)Faedah dan Objektif Untuk Dakwah Islamiah


Pembentukan satu modal teras daripada pendakwah-pendakwah amilin yang mendasari pembangunan dakwah.

Mewariskan dakwah kepada generasi pelapis yang akan datang.

Kemenangan dan kekuasaan kepada dakwah.


4-Ciri-ciri dan Keistimewaan DF


i- DF ialah asas di dalam membina saf para pendakwah dan amilin Islam.

ii-DF mencipta hubungan langsung antara pendakwah dan sasaran dakwah.

iii-DF ialah hubungan khusus antara pendakwah dan sasaran dakwah.


Bab 2: Asas-asas Gerakan DF

ASAS PERTAMA: KEPELBAGAIAN TAHAP KEPRIHATINAN & PEMFOKUSAN

Ahli hadis mengungkapkan:

"Apabila engkau mahu membuat kajian, hendaklah engkau membuat penyelidikan. Apabila engkau mahu meriwayatkan sesuatu, maka hendaklah engkau pastikan kesahihannya."


Pendakwah akan menemui sejumlah manusia dengan 1001 jenis kerenah dan ragam mereka. Maka penting baginya untuk mengenali situasi kehidupan mereka dan menentukan ciri yang paling utama dan paling hampir kepada Islam dan dakwah serta tahap-tahap pendekatannya. Ada di kalangan mereka yang perlu diberi pemfokusan dan penelitian yang lebih. Ada pula di kalangan mereka yang memerlukan pemerhatian tetapi pada tahap yang agak kurang. Demikian itu terbatas berdasarkan kadar kepelbagaian tempat, keupayaan dan kemampuan pendakwah untuk membuat tindakan susulan dan pemfokusan.


ASAS KEDUA: MENGIKUTI ASAS-ASAS PEMILIHAN

"Sesungguhnya manusia seperti sejumlah seratus ekor unta, hampir-hampir kamu tidak dapat mencari seekor yang boleh dijadikan tunggangan."


Apakah asas-asas perbezaan dan pemilihan di antara manusia?

Pemilihan sasaran dakwah hendaklah mengikut asas-asas betul yang dikaji bertepatan dengan misi-misi dakwah yang hendak direalisasikan kepada sasarannya.

1) Ma'dan (Jati Diri) yang baik dan sesuai

Jati diri merujuk kepada akhlak, sifat dan tabiat fitrah kemanusiaan yang dipunyai oleh setiap insan, samada muslim atau kafir. Jati diri inilah yang akan menentukan peribadi, sikap dan tabiatnya tanpa melihat kepada komitmen dan keagamaannya.

Antara akhlak-akhlak asas yang wajib ada pada orang yang kita pilih ialah:

  • Berani
  • Pemurah
  • Cerdik

2) Keinginan dan Nisbah Penerimaan Dakwah

Pendakwah akan menemui manusia yang begitu berminat dan menerima dakwah dengan senang hati seolah-olah itulah perkara yang mereka nanti-nantikan sejak dahulu lagi. Ada juga yang banyak memberi respons dan memperuntukkan masanya untuk berdakwah. Tidak kurang pula ada yang berpaling serta jahil mengenainya dan ada sebahagian lagi yang berpaling dengan penuh degil dan berat hati.

Namun di sana terdapat juga manusia yang mempunyai keperibadian tinggi serta kemampuan yang istimewa tetapi tahap penerimaan dan respons mereka amat lemah. Apakah penyelesaian kepada masalah ini?

Di sinilah para pendakwah perlu bijak berperanan dan meneladani kehidupan Rasulullah s.a.w. kerana kehidupan baginda adalah sebaik-baik contoh. Baginda memohon kepada Allah agar memilih antara dua Umar yang memiliki keperibadian dan sifat yang unggul untuk berada dalam Islam dan dalam masa yang sama baginda tidak mengabaikan pentarbiahan kepada para sahabat yang telah menyahut seruan Islam, walaupun setengahnya memiliki sifat, keupayaan dan kualiti yang kurang.

3) Penyesuaian antara Pendakwah dengan Sasarannya

Kesesuaian antara pendakwah dengan sasarannya akan lebih memudahkan penerimaan dan berkesan dalam menarik hati sasarannya. Antara kesesuaian yang perlu ialah:

  • Kesesuaian tempat (kaum kerabat, jiran, rakan sekelas)-mereka lebih dekat dengan pendakwah
  • Kesesuaian usia
  • Kesesuaian pada kemahiran, pendidikan dan taraf sosial
  • Penumpuan kepada orang yang sentiasa berulang-alik ke masjid

4) Permulaan hidup yang bersih

Orang yang terus bergabung dengan dakwah dan jalan yang betul dalam amal islami pada permulaan kehidupannya, lebih mudah didekati daripada orang yang telah melalui pelbagai pengalaman pada jalan yang salah, kurang tepat atau mempunyai kekurangan sama ada pada sudut pemikiran atau gerakan. Ini disebabkan pengalaman-pengalaman yang salah itu akan memberikan kesan kepada peribadinya.
Akhirnya salah seorang pendakwah telah memeberikan satu gambaran yang umum kepada ciri-ciri yang menjadi pilihan kita iaitu:

Mempunyai suara yang didengari, matanya mempunyai daya tarikan, mukanya menyerlahkan keazaman, berhemah tinggi, cerdik, mulia, aktif, sentiasa bergerak, mengutamakan diam daripada berkata-kata, mempunyai peribadi yang menyenangkan, percakapan yang manis, berani, maruah yang jelas, sentiasa ingin membantu, pemurah dan terpelihara daripada kejahatan.


ASAS KETIGA: MENGENALI KUNCI PERSONALITI DIRI SASARAN DAKWAH

Sabda Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya: "Kami sekalian para Nabi diperintahkan untuk meletakkan manusia sesuai dengan kedudukannya dan berbicara dengan mereka mengikut tahap kemampuan akal mereka."


ASAS KEEMPAT: MEMELIHARA PRINSIP TADARRUJ (BERANSUR-ANSUR)

Pendakwah mesti memelihara prinsip beransur-ansur atau pemeringkatan ini dalam dua aspek iaitu aspek akal dan psikologi.

1. Meraikan Pemeringkatan Dalam Perkembangan Akal

Ibnu Mas'ud meriwayatkan bahawa baginda bersabda:

"Ucapanmu yang tidak dapat difahami oleh sesuatu kaum hanyalah akan mendatangkan fitnah kepada sebahagian mereka."

2. Meraikan Pemeringkatan atau Perkembangan Psikologi

Memelihara pemeringkatan psikologi ini menjadi ciri istimewa tarbiyah Al-Qur'an kepada para sahabat. Al-Qur'anul Karim secara konsisten telah mengutamakan pembinaan aqidah dan iman yang mantap sepanjang tempoh dakwah di Mekah iaitu selama lebih kurang 13 tahun.

Dari sini, pendakwah mesti mempelajari beberapa perkara, antaranya:

a. Mentarbiyah sasaran dakwah serta menguatkan dorongannya untuk beriltizam dan melaksanakan tanggungjawab perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum menyerahkan tanggungjawab dan mengarahnya. Dorongan ini terdiri daripada iman, cinta, takut dan berharap kepada Allah.

b. Memelihara prinsip pemeringkatan dalam membuat komitmen dari perkara yang mudah kepada perkara yang lebih sukar dan dari perkara asas kepada perkara cabang. Perkara ini dilakukan mengikut kesediaan dan perkembangan jiwa dan imannya.

"Orang yang gopoh dalam perjalanannya tidak akan sampai ke destinasinya dan juga akan membinasakan tunggangannya."


Bab 3 : 7 Peringkat DF


MEWUJUDKAN HUBUNGAN KASIH SAYANG, THIQAH & TA'ARUF

MENYEDARKAN IMAN YANG LEKA SERTA MEMBINA AQIDAH

MEMBANTU SASARAN DAKWAH MEMULIHKAN IBADAT DAN AKHLAKNYA

KESYUMULAN IBADAT DI DALAM KEHIDUPAN MUSLIM

KESYUMULAN ISLAM DAN KEWAJIPAN PERLAKSANAAN SYARIATNYA

KEWAJIPAN BERAMAL UNTUK ISLAM

KEWAJIPAN AMAL JAMA'I DAN WADAH YANG BETUL

Ketujuh-tujuh peringkat DF ini sebenarnya mempunyai huraiannya yang lebih mendalam tetapi saya yakin sahabat-sahabat dapat memahaminya secara tersirat walaupun hanya melihat kepada 'point'nya sahaja. Kalau nak tau dengan mendalam, bolehlah dapatkan buku ini =)


Sahabat-sahabat yang dikasihi,

Ingatlah bahawa tugas sebagai da'ie ini bukanlah PILIHAN tetapi ia adalah KEWAJIPAN. Kita tidak memulakan tugas ini bahkan tugas ini telah pun dimulai oleh para Anbiya' 'alaihimussalam. Pasti terdetik di kalangan kita bahawa memikul tugas ini sangatlah berat, rasa diri tidak layak dan 1001 lagi alasan yang boleh disenaraikan jika mahu. TETAPI ingatlah sahabat-sahabat yang ku kasihi kerana Allah, kita tidak melaksanakan tugas ini dengan sia-sia, tetapi kita melaksanakan satu tugas MULIA, tugas para Nabi! Adakah ada pekerjaan yang lebih baik daripada ini? Ku menyeru diriku dan para sahabat sekalian, tetaplah, thabatlah atas jalan mulia ini..Raihlah cinta Allah dan cinta Nabi dengan mewakafkan diri kita sepenuhnya (full time) atas jalan dakwah ini, insya-Allah..Semoga limpah kurnia Allah tercurah atas kita semua. Barakallahufikum.

1 comment:

Afdol Ghaz!™ said...

boleh saya tahu dimana boleh dapatkan buku dakwah fardiyah?

;