Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Sudah jam 3 pagi. Pause. Sukar rasanya aku nak menulis, kekeringan idea. Melayari blog sahabat-sahabat, hampir kesemuanya mencoret tentang penderitaan saudara-saudara kita di Gaza, Allahu Rabbi..Allah Yang Maha Tahu tentang keadaan dan kondisi mereka sekarang. Mohon diberikan kekuatan dan ketabahan hati kepada mereka Ya Allah..
Tahniah kepada sahabat-sahabat saya, dalam kesibukan tuntutan akademik, antum semua tetap istiqamah dalam perjuangan di alam maya ini, menyatakan sensitiviti dan pedulisme kita terhadap saudara-saudara kita. Teruskan usaha kalian, menulis dan menulis sebagai salah satu wadah perjuangan kita.
Lewat petang semalam, sempat aku membelek akhbar, tercatat bilangan rakyat Gaza yang terkorban, mencecah 850 orang. Allahu Rabbi! Hingga aku rasa tidak sanggup dan tidak mampu untuk aku melihat wajah anak-anak kecil, kaum wanita dan juga kaum lelaki yang syahid. Wajah-wajah yang berlumuran darah dan wajah-wajah yang menahan kesakitan yang amat sangat. Akan tetapi, memikirkan bahawa mereka adalah umat Islam yang telah dipilih Allah untuk mati syahid, ketenangan sedikit sebanyak meresap ke dalam lubuk jiwaku. Betapa Allah memuliakan mereka dengan memberikan 'hadiah' dan 'tiket' ke syurga iaitu SYAHID! Bergembiralah kalian dengan rahmat Allah ini saudara-saudaraku.
9 hb lalu, tercatat sejarah di bumi UIAM Kuantan, julung-julung kali demonstrasi diadakan di sini. Kalau sebelum ini suara mahasiswa bergegar di Lembah Klang tetapi pada kali ini, mahasiswa blok Timur telah mula bangkit! Dengan mendapat sokongan penuh daripada Campus Office Director, Alhamdulillah demonstrasi membantah kekejaman Israel dapat berjalan dengan baik walau berada di dalam hujan. Tema Hitam&Putih pada hari itu merupakan simbolik akan kesedihan dan keperitan yang dialami oleh saudara-saudara kita di Palestin. Aku cukup terharu dan gembira dengan sambutan baik yang diberikan oleh seluruh rakan mahasiswa UIAM Kuantan. Turut hadir adalah rakan-rakan mahasiswa daripada POLISAS, sehingga menghantar dua buah bas ke sini, terima kasih sahabat-sahabat!
Demonstrasi tidak hanya demonstrasi kosong, tanpa objektif atau tujuan. Aku memandang demonstrasi sulung ini sebagai wadah dakwah kami kepada rakan-rakan kami dan kepada staf UIAM Kuantan khususnya. Laungan takbir, kata-kata semangat dan laungan membantah Zionis Israel menyuntikkan ruh jihad kepada kami. Laungan ini bukan bertujuan menghabiskan suara rakan-rakan kami tetapi laungan ini adalah laungan yang menyerap ke dalam nadi dan urat darah rakan-rakan kami, laungan yang menyatakan sensitiviti dan pedulisme kami terhadap umat Islam Palestin. Semoga usaha kecil kami ini diterima Allah Ta'ala.

Pilihan Raya Kampus 08/09
Semboyan PRK 0809 telah ditiup. Setelah notis pertama dikeluarkan oleh pihak pentadbiran dibatalkan, aku memandang perkara ini sebagai propaganda daripada mereka. UIAM yang merupakan universiti tunggal yang ditadbir oleh Pro-Mahasiswa sudah tentu menjadi sasaran oleh pihak pentadbiran. Aku menjangkakan lebih banyak propaganda bakal disaksikan oleh kami. Walau apa pun cabaran yang bakal kami hadapi, kami sekali-kali tidak akan berundur dari perjuangan ini. Inilah manifestasi tarbiah kami, dan kami akan perjuangkannya. Bila ditanya kenapa menyertai pilihan raya? Saya fikir, anda sudah tahu jawapannya.
6 hari yang bakal ditempuh merupakan hari-hari sukar terutamanya kepada calon-calon. Aku berusaha untuk memahami perasaan mereka. Berhadapan dengan pihak pentadbiran, melalui 'rally' di hadapan mahasiswa-mahasiswa yang lain, berkempen dan 'turun padang' merupakan agenda-agenda wajib yang perlu dilalui oleh calon-calon. Perlu diingat, kita bukanlah mahu mengejar kedudukan, tetapi kita mahu memelihara bi'ah solehah di bumi UIAM agar bi'ah ini terus hidup dan mekar hingga kepada generasi-generasi akan datang. UIAM adalah negara kita, maka kita mahu negara kita diperintah oleh orang yang faham agama dan mahu membawa Islam di dalam negara kita.
Ya Allah, bantulah kami dalam merealisasikan kewajipan dakwah kami di bumi UIAM khususnya dan kepada masyarakat amnya. Sesungguhnya kami tahu Ya Allah, kami yang lemah ini memikul beban amanahmu sedangkan bukit-bukau dan gunung-ganang tidak mahu menerima amanahmu ini. Dari itu Ya Allah, kami amat berhajat akan pertolongan dan rahmat-Mu. Amin Ya Rabbal 'Alamin.
SEBUAH PERJUANGAN: DARI GAZA KE KUALA TERENGGANU KE PRK 0809
PERJUANGAN ATAS SATU AQIDAH, ATAS SATU MATLAMAT YANG SAMA UNTUK MENDAULATKAN ISLAM!
Al-Islam ya'lu wala yu'la 'alaih!
No comments:
Post a Comment