Wednesday, February 4, 2009

MAHASISWI DARI SUDUT PANDANG KACA MATA SAYA

Sudah agak lama saya tak menulis. Batasan waktu ditambah dengan komitmen akademik di kala semester kedua di Tahun Ketiga saya di Taman Ilmu dan Budi ini dijadikan faktor tidak sempat menulis. Alasan mugkin. Walau bagaimana sibuk pun saya sebagai mahasiswi, saya yakin dan pasti bahawa terdapat rakan-rakan mahasiswi saya di seluruh dunia yang lebih sibuk dari saya.

Saya tidak tahu di mana harus saya mulakan. Isu mahasiswi saya kira sudah ‘evergreen’ dan sudah lapuk diulang cerita saban waktu. Akan tetapi, inilah isu yang terlintas dalam fikiran saya pada hari ini. Mungkin saya sudah muak dengan isu kebangkitan mahasiswi yang sering dilaung-laungkan dan sering menjadi provokasi hangat sehingga kami (mahasiswi) sudah induced dengannya. Kebangkitan apa yang dimahukan? Mungkin saya boleh memetik saranan Pengerusi Helwani GAMIS, Saudari Rafidahjannah kepada para mahasiswi iaitu menguasai elemen MP3(Multimedia, Penulisan, Public Speaking dan Peka Isu). MP3 ini dijadikan sebagai yardstick kepada kebangkitan mahasiswi. Tetapi sejauh mana yardstick ini diambil cakna oleh para mahasiswi kita?

Mahasiswi era kini lebih mendominasi mahasiswa dari sudut akademik dan kokurikulumnya. Kenapa saya berkata begitu? Cuba anda lihat peratusan mahasiswi di kampus anda yang menduduki tempat tertinggi akademiknya berbanding mahasiswa. Bukan saya mahu mendabik dada atau berbangga dengan pencapaian mahasiswi tetapi itulah hakikat yang berlaku dewasa ini. Bukan mahasiswa tidak bijak tetapi…hanya mahasiswa yang tahu jawapannya. Tepuk dada tanya iman =)

Namun begitu, kecemerlangan mahasiswi dalam bidang akademik ini tidak mencukupi andai seorang mahasiswi tidak menggunakan kebijaksanaannya untuk membela isu mahasiswi khasnya dan isu wanita amnya. Atau boleh saya katakan paling tidak pun(baca: minimum requirement) mahasiswi ini respon akan isu-isu yang berlaku di sekeliling mereka. Bagaimana mahu respon? Penulisan ini turut tertuju kepada penulisnya.

Jika mahu, sangat banyak caranya untuk respon isu. Kredit sebagai seorang intelektual wajarlah digunakan sebaik mungkin oleh seorang mahasiswi. Mungkin saya boleh nyatakan beberapa contoh; menulis artikel, berblog, menghantar memorandum, mengadakan program kemasyarakatan, mewujudkan bi’ah solehah di kampus dan menyatakan isu secara lisan (public speaking). Saya yakin anda juga boleh menyenaraikan lebih banyak contoh dari ini, mungkin ada antaranya yang tidak terlintas dalam fikiran saya.

Hanya menyenaraikan? Bagaimana dengan tindakan? Hanya anda yang mampu menyediakan JAWAPANnya. Jawapan adalah di tangan anda. Jika anda hendakkan perubahan dan anda ada keMAHUan, anda akan mencari jalan untuk menunjukkan respon anda. Jika tidak, tiadalah mahasiswi yang mahu ke hadapan untuk membela isu wanita sedangkan wanita merupakan suara majoriti dalam negara kita.

Pandangan saya sebagai mahasiswi yang masih cetek ilmu dan sedikit pengalaman ini terhadap mahasiswi abad millennium ini;
Mahasiswi sebenarnya mampu mencetuskan satu momentum yang jauh lebih baik dan lebih gegarannya berbanding mahasiswa jika sedikit keberanian disuntik kepada mereka. Bukan mereka tiada keberanian tetapi terkadang sifat malu kepada kaum Adam lebih menguasai diri mereka. Mahasiswi juga dikatakan kurang kemahiran dalam berpidato atau berucap di hadapan umum. Ya benar, tetapi tidak semua mahasiswi begitu. Kita masih memiliki mahasiswi yang lantang bersuara dan berani menyatakan hujah dan pendirian mereka terhadap sesuatu isu. Perlu diingat, tidak semua mempunyai kemahiran yang sama. Tidak semua memilki kemahiran bercakap dalam khalayak ramai. Tetapi mahasiswi memiliki keistimewaan dan kelebihan lain yang tidak dimilki oleh mahasiswa.

Tidak dinafikan mahasiswi sebenarnya mempunyai peranan yang besar dalam gerakan mahasiswa di kampus-kampus. Mahasiswi bertindak sebagai agen penyebaran maklumat kepada rakan-rakan mahasiswi lain. Saya membawakan satu contoh mudah iaitu Pilihan Raya Kampus. Nisbah mahasiswi yang besar terhadap mahasiswa menjadikan suara mahasiswi tidak boleh dipandang enteng. Di sinilah peranan mahasiswi dilihat. Mahasiswi bertindak dalam memberikan kesedaran dan kefahaman kepada rakan-rakan mereka akan peri pentingnya PRK dalam menentukan tampuk kepimpinan pelajar.

Seterusnya, sifat mahasiswi yang lemah lembut dan mudah mendekati sesiapa sahaja memberikan satu lagi kredit kepada mereka. Dalam usaha mengajak rakan-rakan mahasiswi lain ke arah kehidupan yang lebih terarah dan bermatlamat kepada Islam yang syumul, kredit ini tidak disia-siakan oleh mereka. Alhamdulillah, saban tahun, bilangan mahasiswi (baca:mad’u) semakin bertambah dan ianya menguatkan lagi barisan gerakan mahasiswi yang sedia ada.

Dari sudut pandang kaca mata saya>> tidak ada bezanya mahasiswi dengan mahasiswa. Mahasiswi ada kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri yang tiada pada mahasiswa dan begitu sebaliknya. Cuma bagaimana kelebihan dan keistimewaan ini digilap dan digunakan perlulah kena pada cara dan tempatnya. Bukankah lelaki dan wanita itu saling melengkapi? Bukankah setiap manusia itu mempunyai kelebihan dan kekurangan?

Anda ada jawapannya..

Dan hanya anda yang mampu mengubahnya..

Pandanglah dari sudut yang OPTIMIS dan POSITIF, nescaya anda akan lihat banyak HIKMAHnya di situ =)

2 comments:

wearelearningparents said...

HOPE AND CHANGE!!

Khaulah Azwar said...

Yup! We must be the first line in creating the CHANGE and turning the HOPE to REALITY!
Sumayyah, terus semangat ye =)

;