Sunday, February 8, 2009

Menyelami perasaan MB Perak

Alhamdulillah baru saja tamat menduduki Midterm Organizational Behavior. OB adalah salah satu subjek minorku pada semester ini. Menghadiri kelas pada hampir setiap hari Ahad kadang kala terasa penatnya, tetapi inilah lumrah yang harus aku tempuh dalam erti kata pelajar Kuantan menuntut ilmu daripada lecturer dari Gombak. Sesungguhnya aku mengkagumi pengorbanan lecturer subjek minorku, Dr Suhaimi Md Sarif yang hampir setiap minggu travel ke Kuantan untuk mengajar kami. Terima kasih Dr.
Sudah tentu bukan topik tentang diri sendiri yang ingin dicoretkan. Cukuplah setiap hari yang dilalui sentiasa disyukuri dan diinsafi kerana kita tentu tidak tahu bilakah ajal akan menjemput kita. "Allahummakhtimlana bihusnil khatimah wa la takhtim 'alaina Ya Allah bisuu'il khatimah.."
Umum sudah mengetahui tentang pergolakan yang berlaku di negeri yang terkenal dengan hasil bumi bijih timah, Perak Darul Ridzuan. Rentetan kronologi boleh dilihat di laman adik dan sahabat saya, Ukht Ilyani =)
Dari sudut pandang saya;
-Adakah kerajaan BN begitu terdesak sehingga sanggup 'membeli' ADUN dari PKR?
-Adakah bekas ADUN PKR begitu 'termakan budi' dan 'terhutang nyawa' kepada BN sehingga sanggup lompat parti?
-Di manakah integriti yang sering dilaung-laungkan oleh pimpinan UMNO dan BN?
-Adakah bekas ADUN PKR sanggup mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat Perak?
Pada sudut jawapan anda ??
Saya tinggalkan persoalan-persoalan di atas untuk dijawab oleh anda yang tahu menilai erti KEIKHLASAN, KEJUJURAN dan AMANAH.
Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat pernah berkata, "Berjuang biarlah berprinsip". Hidup kita ada prinsip dan sudah tentu PERJUANGAN kita mempunyai prinsip. Prinsip kita adalah berlandaskan Al-Qur'an dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.
Jika anda melayari pula blog Ust Nasruddin Tantawi, cuba anda lihat entri beliau yang bertajuk 'Pemutihan Intima' '. Tertarik untuk saya kongsikan di sini bahawa intima' kita di dalam jamaah adalah Intima' Al-Aqidi iaitu penggabungan diri kita di dalam jamaah dengan bertunjangkan aqidah yang sohih dan keyakinan yang mendalam berdasarkan petunjuk Allah SWT.
Perlu diingat bahawa intima' yang salah adalah Intima' Maslahi dan Intima' Syakhsi. Intima' Maslahi adalah penglibatan kerana tujuan dan kepentingan tertentu sementara Intima' Syakhsi adalah penglibatan berasaskan suka atau minat kepada individu tertentu. Jelaslah di sini bahawa kedua-dua jenis intima' ini tidak bertunjangkan aqidah yang sohih dan lebih kepada kepentingan duniawi semata-mata. Justeru, Ust Nasruddin memaksudkan pemutihan intima' dengan kita kembali kepada intima' yang sebenarnya iaitu intima' al-Aqidi.
Jika mahu menyatakan isi hati saya, sudah tentu saya sangat sedih dengan pergolakan yang berlaku di Perak. Sebentar tadi sempat saya berborak dengan sahabat seperjuangan, kata beliau, Pak Teh (pak cik prebet sapu di UIA Kuantan) tidak dapat tidur malam memikirkan keadaan yang berlaku di Perak. Saya mengkagumi Pak Teh. Bila naik kereta beliau, akan ada sahaja isu semasa yang diutarakan dan betapa sensitifnya Pak Teh tentang isu rakyat dan perjuangan Islam.
Apa perasaan MB Perak? Apa perasaan rakyat Perak? Seluruh Pakatan Rakyat bersama kalian. Dan ketahuilah Allah bersama-sama kita.
Semalam hampir 10 ribu (betulkan saya jika fakta ini salah) berhimpun di kediaman MB dan solat hajat bersama-sama, berdoa agar Allah melembutkan hati Sultan Perak untuk memperkenan pembubaran DUN Perak. Sungguh pun MB Perak yang baru, Datuk Zambry telah mengangkat sumpah semalam, namun Ir Nizar masih sah sebagai MB Perak yang asal.
Solat Hajat dan Qunut Nazilah berterusan. Jika mereka mendapat apa yang dihajati di dunia ini, ketahuilah itu hanyalah habuan dunia, tidak sedikit pun dipandang Allah. Dan sudah tentu balasan dan azab Allah bakal menimpa mereka jika mereka tidak mahu bertaubat. Bagi kita yang faham Islam, marilah kita berdoa agar Allah memberikan hidayah kepada mereka agar mereka bertaubat dan kembali kepada Allah.
Buat Ir Nizar dan seluruh rakyat Perak; perteguhkan barisan dan perhebatkan doa. Allah memilih kalian dan kita untuk diuji kerana jalan merintis perjuangan Islam ini bukanlah jalan yang mudah dan dihampari permaidani merah. Pada sudut pandang positif, Allah ingin menguji kesatuan kita dan kebergantungan kita yang total hanya kepada-Nya.
Wallahua'lam.

No comments:

;