26 Ogos 2008
Alhamdulillah, dengan izin Allah, aku masih diberi nafas dan peluang untuk hidup di muka bumi-Nya lagi. Dengan izin-Nya juga aku masih diberi kewarasan akal fikiran untuk terus memperdalam ilmu-Nya di Taman Ilmu dan Budi ni. Alhamdulillah...
Pagi ini, Alhamdulillah sempat juga aku bertemu dengan kekasih-Ku seketika sebelum azan Subuh berkumandang. Nikmat untuk bertemu kekasih Agung pada waktu yang sunyi sepi dan ketika orang lain sedang enak diulit mimpi amat jarang aku kecapi, Astaghfirullah, adakah disebabkan dosa-dosa yang menguliti diri?
Usai Subuh, aku terus menghadap nota-nota BMku, sebenarnya aku akan menghadapi midterm pada pukul 8 pagi nanti. Kalut. Risau. Cemas. Walaupun subjeknya adalah Bahasa Melayu tetapi aku berpegang dengan prinsip BERSUNGGUH-SUNGGUH DALAM SETIAP PERKARA yang aku lakukan. Mungkin juga salahku yang studi last minute yang menyebabkan aku jadi sebegitu kalut dan gundah. Astaghfirullah, teguran buat diri supaya tidak bersikap begitu lagi.
Alhamdulillah, sudah selesai midterm BM. Lega,walaupun ada juga yang tak dapat dijawab dengan baik, aku serahkan keputusannya kepada Tuhan. Teringat tugasan-tugasanku masih banyak yang perlu dibuat, aku terus pulang ke mahallah. Bersemangatlah wahai diri dalam menghadapi hari-hari di dalam siri kehidupan ini!
Betul kata Nabi, jika kita memulakan hari kita dengan niat yang baik, dapat pula qiyam jika mampu, tak tidur lepas Subuh, insya-Allah hari kita pada hari tersebut akan berjalan dengan indah, seronok dan baik. Tak percaya? Cuba buat, anda pasti akan merasainya =)
Kemudian cuba bandingkan dengan hari kita yang tidak dimulai dengan baik, dengan sikap malasnya, dengan tidur lepas Subuhnya (astaghfirullah, tidak sepatutnya berlaku..) dan lain-lain lagi yang kita sendiri tahu. Kita sendiri yang akan merasai perbezaan itu. Kita sendiri pasti akan dapat MENILAI bestnya dapat bangun awal. Kita sendiri yang akan merasai nikmatnya QIYAMULLAIL itu...
**************************************************
26 Ogos- teringat aku pada hari ini adalah Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh. PRK yang bakal menyaksikan lanskap politik Malaysia terus dicoretkan dengan kejutan-kejutan dan 'unexpected perception' terhadap rakyat Permatang Pauh khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Rentetan PRK Permatang Pauh ini yang dimulai dengan peletakan jawatan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah dengan sebab untuk memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengundang pelbagai kontroversi dan persepsi daripada semua pihak.
Pada 9.40 pagi ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Penanti, di Bukit Mertajam. Beliau ditemani oleh isterinya. (Sumber: beritaharianonline)
Sementara itu, turut keluar mengundi seawal 7.50 pagi, calon BN; Datuk Arif Shah Omar Shah di Sekolah Kebangsaan Seberang Jaya II di Lenggok. Lebih 3,000 penyokong parti telah keluar mengundi pada hari ini.
Aku menunggu keputusan PRK ini. Seluruh rakyat Malaysia menunggu keputusannya. Dalam salah satu blog aktivis mahasiswa yang aku lewati, beliau menyatakan pada hari ini Tsunami politik akan berlaku dan beliau optimis dengan kata-katanya. Dalam hati, aku turut bersetuju dengan kata-katanya. Sama ada Datuk Seri Anwar menang atau tidak, yang pastinya Malaysia akan menyaksikan sekali lagi Tsunami politik selepas Tsunami yang hebat telah melanda PRU ke-12 pada 8 Mac lalu. Optimis? Kita bakal saksikan..
_Politik Malaysia_
Akhir-akhir ini, aku berasa muak dengan kerenah sebahagian besar ahli-ahli politik di Malaysia. Bermula dengan 'kes liwat Anwar' yang sebenarnya tiada bukti sahih yang menunjukkan Datuk Seri Anwar melakukannya, lafaz sumpah oleh Saiful (pembantu peribadi Anwar), turunnya harga minyak secara 'kebetulan' dan event-event lain yang aku rasakan mereka ini sudah melampau dan tidak takut kepada Tuhan.
Teruskan dan perhebatkan doa kita. Moga hidayah Allah dilimpahkan kepada kita semua. Terkadang aku terfikir, Allah masih menahan bala untuk diturunkan ke atas kita (Na'uzubillah, minta dijauhkan..), tetapi itulah yang terkadang terlintas di hatiku. Apabila manusia sudah menjadikan nafsu sebagai raja, apabila manusia tunduk kepada kuasa, sehingga lafaz sumpah turut dijadikan mainan, maka tunggulah balasan Tuhan, jika tidak di dunia, di Akhirat kelak pasti tidak akan terlepas!!
" Dan perangilah mereka itu sampai tidak ada lagi fitnah, dan agama hanya bagi Allah semata. Jika mereka berhenti, maka tidak ada (lagi) permusuhan, kecuali terhadap orang-orang zalim. " (2: 193)
No comments:
Post a Comment