Sering kali kita sebagai manusia inginkan perhatian dan kasih sayang daripada orang yang kita kasihi. Kadang kala kita lupa kepada yang paling berhak untuk kita dapatkan kasih sayang dan perhatian. Tentunya Pencipta kita.
Terkadang rahsia kita lebih banyak dengan manusia berbanding dengan Dia. Kenapa ya? Susahkah untuk kita peruntukkan masa kita untuk Dia? Dalam 24 jam masa kita, berapa jam masa kita dengan Tuhan?
Terkadang juga dalam solat pun kita boleh lalai, Astaghfirullah!
Aku ingin berkongsi sikit antara 71 nasihat daripada Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat; tokoh dan qudwah yang sangat aku kagumi.
'Meraih Kasih Allah dan Kasih Manusia'
Agak sulit untuk mencari formula atau kaedah amalan yang boleh menyebabkan Allah SWT kasih terhadap seseorang dan pada masa yang sama manusia juga sayang kepadanya.
Kebanyakan manusia ingin popular dalam kalangan manusia, lebih menurut kemahuan dan desakan manusia. Tidak ramai yang mahu popular dalam kalangan penghuni langit, popular pada pandangan Allah.
Menurut Tuan Guru, Islam telah mengemukakan satu formula seperti yang diceritakan oleh seorang sahabat bernama Sahal bin Saad yang telah mendengar ajaran tersebut daripada Rasulullah s.a.w.
Suatu hari, Sahal bin Saad RA berada dalam majlis Nabi SAW, lalu datang seorang sahabat bertanya kepada baginda: "Ya Rasulullah, ajarkan kepadaku sejenis amalan yang sekiranya aku lakukan menyebabkan Allah SWT sayang kepadaku dan manusia juga sayang kepada aku." Lalu Rasulullah besabda: "Hendaklah kamu zahid terhadap dunia, nescaya Allah sayang kepadamu dan hendaklah juga kamu zahid terhadap kekayaan dunia yang ada di tangan orang lain, nescaya orang akan sayang kepadamu." (Hadis diriwayatkan oleh At-Tirmizi)
Sabda Nabi SAW itu dengan jelas menunjukkan bahawa Allah SWT menyayangi orang yang bersikap zuhud terhadap dunia. Zuhud terhadap dunia itu bukan bermakna meninggalkan dunia atau melupakan habuan kerana Allah SWT telah menyatakan perkara ini melalui firman-Nya:
"Sesungguhnya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh." [Al-Anbiya':105]
Allah SWT mewariskan bumi ini kepada hamba-hamba-Nya yang soleh. Ini bererti antara peranan orang yang soleh ialah tanggungjawab menjaga dan menguasai dunia serta mentadbirnya. Ia bukanlah seperti anggapan segolongan orang yang keliru tentang erti zuhud sehingga mereka meninggalkan kepentingan dunia dengan pakaian yang compang-camping dan membiarkan diri hidup papa kedana.
Jika salah tanggapan terhadap erti zuhud ini masih membaluti akal kita, nescaya tidak adalah hartawan seperti Abd Rahman bin Auf, para Khulafa' Ar-Rasyidin yang memerintah negara dan menguasai hampir tiga perempat dunia.
Mereka adalah hamba Allah yang zuhud. Abdul Rahman contohnya, demi kepentingan Akhirat, beliau dengan murah hati menghadiahkan kesemua harta dagangan dan 700 ekor unta miliknya. Beliau memiliki harta yang sangat banyak, tetapi lihatlah, beliau tidak menggunakan harta untuk kepentingan dirinya tetapi menggunakan harta itu demi untuk kepentingan Islam. Inilah yang dikatakan zuhud terhadap harta dunia.
Demikianlah Rasulullah mendidik umatnya melalui sabda baginda kepada Sahal RA. Sifat zahid terhadap dunia akan menyebabkan seseorang dikasihi oleh Allah SWT. Ia dikasihi kerana diberi kesempatan untuk mewarisi harta dunia, tetapi tidak pula menjadi matlamat hidupnya.
***************
Aku terkadang terfikir, sejauh mana amal jariahku di dunia ini? Sahabat-sahabat Nabi tidak pernah teragak-agak untuk menginfakkan harta mereka di jalan Allah. Sedikit pun tidak teragak-agak. Tetapi aku? Hendak menghulurkan derma pun berfikir dua tiga kali. Hendak membantu orang yang susah pun, cek duit ada atau tidak. Kenapa aku tak fikir, duit itu adalah dari Allah? Allah yang memberi rezeki kepadaku. Allah yang memberi makan, minum, pakaian dan segala kelengkapan yang cukup. Astaghfirullah! Gerunnya memikirkan apakah jawapan yang dapat aku persembahkan di hadapan-Nya nanti?
Wahai Tuhan, bantulah aku dalam menghadapi ujian-Mu. Bantulah aku dalam melalui liku-liku kehidupan yang begitu mencabar dan menyesakkan. Tidak sepatutnya terluah keluhan olehku walau sesusah mana ujian yang aku tempuh. Tetapi itulah aku Ya Tuhan, terluah jua keluhan dariku sedangkan Engkau sentiasa bersama hamba-hamba-Mu.
Wahai Tuhan, ingin sekali aku menjadi hamba yang dipandang oleh-Mu, menjadi hamba yang disayangi-Mu. Biarlah manusia tidak mengenaliku tetapi aku tidak mahu Engkau tidak mengendahkanku.
Wahai Tuhan, aku sering memungkiri janjiku kepada-Mu. Aku sering berjanji untuk menjadi hamba-Mu yang solehah, yang memurnikan ketaatan kepada-Mu tetapi aku tersungkur jua di pertengahan jalan mencari redha-Mu.
Wahai Tuhan, ampunkan aku yang sering berdosa. Ampunkan aku yang sering lalai dan alpa. Aku malu kepada-Mu. Engkau tidak pernah menimpakan ujian yang maha hebat seperti mana yang telah dilalui oleh kekasih-Mu. Apalah sangat ujian yang aku tempuh, tetapi dosa demi dosa terus ku lakukan, Astaghfirullah..Astaghfirullah..Astaghfirullah..
Ya 'Aziz, Ya Rahman, Ya Rahim..
Aku bermohon kepada-Mu dengan kerendahan hati, bantulah aku dalam setiap perkara yang aku lakukan. Aku tidak bisa walau bernafas tanpa keizinan dari-Mu. Terkadang aku berasa amat takut untuk menempuh hari-hari yang mendatang..
Terima kasih Tuhan..di dalam kepayahan dan kesulitan melalui ranjau kehidupan ini, Engkau menghadiahkan insan-insan soleh dan solehah buatku sebagai teman. Engkau tidak membiarkanku keseorangan..lalu, siapalah aku untuk tidak mengungkapkan syukurku kepada-Mu Tuhan..
No comments:
Post a Comment