Monday, April 6, 2009

Cerita Hari Ini...

Alhamdulillah hari ini masih dapat bangun pagi, melakukan rutin harian seperti biasa..
Allah masih memberi nafas menghirup oksigen-Nya..

9.30 pagi: "Fizah, Abang Long akak dah takde.." Kak Iqa memberitahuku pagi tadi. Bagai terkena kejutan elektrik, macam tak percaya aku mendengar berita itu..ku lihat air mata sudah bergenang di kelopak mata Kak Iqa.

"Akak, sabar ye..dah tiba ajal Abang Long.."aku cuba untuk menenangkan Kak Iqa.

10.00 pagi: "Akak balik dulu, doakan semuanya.." ujar Kak Iqa.

Terduduk.

Aku masih lagi macam tak percaya. Aku kenal baik dengan famili Kak Iqa. Dua tiga kali bertandang ke rumah beliau membuatkan aku sudah kenal dengan adik-beradik dan ipar-duai Kak Iqa. Abang Long beliau yang merupakan suami kakak sulung Kak Iqa disahkan meninggal dunia pagi tadi di HKL. Menurut doktor, beliau menghidap darah tinggi. Ya, itu merupakan asbabnya dan kita perlu yakin bahawa ajal beliau sudah tiba.

11.30 pagi: "Faraa, ang exam tak esok? Jom g umah Kak Iqa, nak?" aku bertanya sahabatku Faraa. "Tak exam.Ok je, insya-Allah." jawab Faraa.

12.45 tgh hari: "Ok ye semua, ready pukul 2.30 ptg, kita bertolak, insya-Allah.." aku mengingatkan sahabat-sahabatku yang confirm untuk pergi ziarah.

2.30 ptg: "Alhamdulillah semua dah cukup, dah boleh bertolak rasanya.." -dua buah kereta telah konvoi dari Kuantan ke Paya Pulai, Temerloh.

4.30 ptg: "Eh, mana rumah arwah? Macam takde orang pulak.." kami tercari-cari rumah arwah. Salah seorang sahabat contact Kak Iqa, oh, rupanya jenazah dah dibawa ke masjid untuk disembahyangkan. Kami pun bergegas ke sana.

Alhamdulillah kami selamat tiba. Bersalaman dengan adik-adik Kak Iqa. Sayu aku lihat wajah mereka. Mataku beralih pula kepada Kak Long, merah matanya. Wafiy dalam dukungan asyik menangis sahaja. Tersentuh hatiku melihat Wafiy. Anak kecil yang baru berusia setahun itu sudah kehilangan ayah yang dikasihi.

Selepas Asar. Jenazah selamat disembahyangkan. Kemudian, kami beramai-ramai mengiringi jenazah ke tanah perkuburan yang hanya bersebelahan dengan masjid. Sanak saudara dan kenalan ramai yang hadir sebagai penghormatan terakhir kepada arwah. Aku dan beberapa sahabat hanya berada di luar pagar kubur kerana ramai yang berada di dalam, menyukarkan kami untuk berada dalam kawasan kubur.

Aku hanya menyaksikan dari jauh. Tiba saatnya jenazah dibawa ke dalam liang lahad, disaksikan oleh mereka yang hadir. Aku seolah-olah membayangkan bagaimana jika yang dimasukkan ke dalam liang lahad itu adalah aku..Allahu Akbar! Takut rasanya mengenangkan diri ini yang masih tidak cukup persediaan untuk menghadap Dia.

Mataku mencari-cari Kak Long. Ku lihat dia seorang yang tabah. Walaupun mengalir air matanya dan masih merah matanya, tetapi aku tahu dia seorang isteri dan ibu yang kuat. Dia memeluk Wafiy erat dan Kak Iqa di sebelahnya sentiasa berusaha untuk menenangkannya. Hakikatnya, aku amat tahu kesedihan seorang isteri yang kehilangan suami dan Allah lebih tahu perasaan Kak Long tika itu.

Usai talkin dan doa dibacakan. Semua yang hadir beransur-ansur pulang. Kami juga mengejar masa untuk pulang ke UIA memandangkan ada antara kami yang ada exam esok.

Bersalaman dengan Kak Iqa. "Akak, sabar banyak-banyak ye.." hanya itu yang mampu aku ucapkan. Dalam hati, aku mendoakan agar Allah melimpahkan kekuatan dan kesabaran kepada keluarga Kak Iqa terutamanya kepada Kak Long.

Dalam perjalanan pulang ke UIA. Aku masih teringat-ingat wajah arwah. Arwah seorang yang pendiam bagiku tetapi amat baik kepada anak-anak beliau. Pemergian beliau dalam waktu yang singkat dan mengejut amat tidak dijangkai tetapi itulah ajal yang sudah tersurat. Bagiku, perjalanan ajal arwah sungguh mudah. Allah memudahkan pemergian arwah dan segala urusan pengkebumian juga berjalan lancar, Alhamdulillah..

Sungguh, amat bermakna sekali ceritaku pada hari ini. Cerita hari ini mengingatkanku kepada MATI. Kematian akan menjemput kita pada bila-bila masa sahaja dan walau di mana sahaja kita berada.
"Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita akan kembali.."
Aku juga amat mengharapkan sahabat-sahabatku inilah yang akan mengiringi jenazahku apabila sudah tiba ajalku nanti..
"Andai Ku Tahu kapan tiba ajalku..."



No comments:

;