Friday, April 10, 2009

Kepimpinan Yang Adil

Khusus buat Barisan Kepimpinan Malaysia 2009 & PM ke-6; Dato' Seri Najib Tun Razak;

Tanggal 3 April 2009 merupakan tarikh bersejarah bagi rakyat Malaysia apabila tampuk peralihan jawatan Perdana Menteri telah diambil alih oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak. Peralihan kuasa ini menandakan tamatnya zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi Perdana Menteri Malaysia selama hampir 8 tahun (2002-2009). Dato’ Seri Najib Tun Razak bukanlah orang baru di dalam arena politik ini kerana seawal usia yang masih muda lagi, beliau telah merasai asam garam dan rencah hidup berpolitik. Sekalung tahniah diucapkan kepada beliau atas perlantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6.

Sesungguhnya seluruh rakyat Malaysia amnya dan seluruh mahasiswa khasnya meletakkan segunung harapan yang tinggi kepada kepimpinan baru Malaysia ini. Memetik ucapan beliau di dalam ‘Nota Ucapan Selepas Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-6’ yang bertarikh 3 April 2009, beliau tersentuh dan terpanggil untuk meneruskan agenda besar kerajaan untuk membasmi kemiskinan, menstrukturkan semula masyarakat Malaysia, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua, serta meniupkan semangat sebuah generasi baru untuk menumpah khidmat kepada Malaysia. Beliau turut menyatakan bahawa kepentingan rakyat diutamakan merentasi seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik.

Pengumuman penarikan balik larangan penerbitan sementara bagi DUA surat khabar serta membebaskan TIGA BELAS tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pastinya melapangkan hati rakyat terutamanya bagi keluarga tahanan-tahanan ISA yang terlibat. Selain itu, kajian semula terhadap Akta ISA secara serius juga telah lama dinanti-nantikan oleh rakyat dan rakyat akan menyaksikan hasil kajian ini di bawah kepimpinan baru Malaysia yang diterajui oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak. Walaupun rakyat dan mahasiswa optimis dengan kenyataan beliau mengenai dasar dan pembaharuan yang akan dilaksanakan tetapi kami menuntut agar ianya mestilah dilaksanakan dengan adil dan telus serta tidak prejudis kepada mana-mana pihak.

Menyentuh isu kemahasiswaan pula, kemaslahatan mahasiswa amat dituntut dalam merealisasikan potensi golongan anak muda sebagai pelapis kepimpinan masa hadapan. Yang Berhormat Perdana Menteri bersedia untuk membangunkan potensi anak muda setinggi-tingginya sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam ucapan beliau selepas mangangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-6 baru-baru ini. Justeru, mahasiswa mempertaruhkan keyakinan yang tinggi kepada beliau agar isu mahasiswa tidak dipandang enteng dan diremehkan seperti isu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang masih tidak dimansuhkan oleh kerajaan. Di sini mahasiswa ingin menyatakan pendirian bahawa kami mempunyai idealisme tersendiri dan sesungguhnya kami tegar dalam memperjuangkan hak mahasiswa secara rasional dan matang jika hak kami disekat atau dikhianati oleh mana-mana pihak.

Dalam masa yang sama, mahasiswa juga ingin dilihat sebagai agen ‘check and balance’ kepada kerajaan dalam usaha melahirkan para cendekiawan yang tinggi ilmunya dalam segenap bidang. Suara mahasiswa juga harus didengari dan ruang yang seluas-luasnya harus diberikan kepada kami untuk beraksi kerana mahasiswa masih berada dalam medan belajar dan berijtihad dalam melakukan sesuatu keputusan. Jika suasana ini dapat direalisasikan oleh kerajaan, maka ‘win-win situation’ dapat dinikmati oleh kedua-dua pihak iaitu pihak kerajaan dan mahasiswa sendiri. Sebarang persamaan atau perbezaan pendapat dapat diharmonikan oleh kedua-dua pihak jika mereka saling berlapang dada dan bersatu dalam menyelesaikan ‘real problem’ bagi mana-mana aspek yang dibincangkan.

Selain itu, perlu diingat bahawa perkara utama yang menunjangi kehidupan kita iaitu agama Islam wajib dilaksanakan tanpa kompromi. Kewajipan melaksanakan hukum dan syari’at Islam ke atas sesebuah negara tertanggung atas pemimpin negara itu sendiri. Pemimpin yang adil dan baik akhlaknya akan dihormati dan dicontohi oleh rakyat. Sejarah kepimpinan Islam yang cantik telah ditunjukkan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan berakhlak mulia. Beliau amat disayangi oleh rakyatnya kerana beliau lebih mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan diri beliau sendiri.

Kepimpinan yang adil dan telus sangat didambakan oleh rakyat dan mahasiswa. Maka dengan slogan dan semangat “Satu Malaysia-Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan” yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri baru kita ini diharapkan ianya berpijak di atas bumi yang nyata. Segala janji dan seruan kepada rakyat wajiblah dicermati dan perlu dilaksanakan kerana setiap janji yang telah dibuat akan dipersoalkan oleh Tuhan. Akhirnya sebagai wakil kepada seluruh mahasiswa, kami mengharapkan barisan kepimpinan baru Malaysia 2009 dapat memiliki sifat seorang pemimpin yang Al-Qawiy (kuat) dan Al-Amin (amanah) dalam menerajui pemerintahan dan kami amat menyokong kepimpinan yang adil daripada kalian.

Nukilan;
khaulahazwar86

2 comments:

Mohd Nuruddin Mohamed said...

Assalamualaikum wbt.

wah..menarik.. :) Barakaallahulak.

Salam ukhuwwah

Khaulah Azwar said...

Wa'alaikumussalam

Tak menarik mana pun, msh bertatih lg..
Nta pun punya tulisan yg bagus, keep up ur good work!

Terus thabat!

;